Persidangan Parlimen Mahasiswa perlu disegerakan – Majlis Perwakilan Pelajar UMS

KOTA KINABALU: Jika benar pihak Universiti jujur dan ikhlas untuk melaksanakan Pemerkasaan Mahasiswa maka Persidangan Parlimen Mahasiswa perlu disegerakan.

Naib Presiden III, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Mohd Gadaffi Imran berkata semua sedia maklum bahawa Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2022/2023 akan terbubar pada hujung tahun ini dan Pilihan Raya Kampus (PRK) perlu untuk dijalankan.

Katanya bagi menjamin ketelusan dan memberikan keyakinan kepada semua, persidangan ini perlu untuk memilih dan melantik Pengerusi dan Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus yang akan menguruskan pelaksanaan pilihan raya tersebut dan beberapa isu berbangkit yang wajar dibincangkan.

“Jangan jadikan tiada tempat sebagai alasan. Jika tidak berhajat untuk melaksanakannya, maka Pemerkasaan Mahasiswa sedia ada perlu dibatalkan segera dan kembali seperti sedia kala.

“Sesungguhnya pihak Universiti mengetahui dan memahami apa yang dikatakan ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pihaknya menunggu reaksi balas pihak Universiti dalam tempoh masa 10 hari dari surat ini dikeluarkan hari ini.