KOTA KINABALU : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sabah muncul sebagai juara Kejohanan Bowling Jemputan Sabah Eelectricity Sdn Bhd (SESB) di CPS Bowling Centre Point di sini, semalam.
Dengan pungutan jatuhan pin sebanyak 4,894, pasukan KKM Sabah menewaskan Naib Johan iaitu pasukan Yayasan Sabah yang berjaya menjatuhkan 4,873 pin dan tempat Ketiga disandang oleh pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 4,833.

Bagi acara Bergu Berpasukan, Johan dimenangi oleh JKR, manakala Naib Johan jatuh kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan KKM Sabah berada di tempat Ketiga.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir.Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata pertandingan itu diadakan sempena dengan Sambutan Jubli Perak SESB ke- 25 tahun ini.
“SESB akan mengadakan lebih banyak lagi acara sukan dan program seumpama ini yang melibatkan penyertaan daripada Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta syarikat-syarikat korporat yang lain sebagai usaha SESB meluaskan jaringan persahabatan,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah pertandingan tersebut.
Kejohanan itu dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi SESB dengan disertai sebanyak sembilan Jabatan dan Agensi Kerajaan serta Swasta iaitu JKR, KKM, Yayasan Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Ketua Menteri (JKM), KBS, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Hospital Gleanegals.
