PERSANTUN Anjur Kempen Saringan Kesihatan dan Dermah Darah Ahad ini

SEMPORNA: Pertubuhan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Semporna dan RASPAND Motor Sdn.Bhd akan menganjurkan Program Kempen Saringan Kesihatan dan Dermah Darah pada 12 Februari ini di Perkarangan Rumah Raspand.

Presiden PERSANTUN, Datuk Najib Tay Abdullah berkata, program percuma itu akan bermula jam 9.00 pagi sehingga selesai.

Katanya, program itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya mengadakan saringan kesihatan.

“Menurusi saringan kesihatan yang akan dilakukan oleh kakitangan Kesihatan Semporna, masyarakat setempat dapat mengetahui tahap kesihatan diri mereka dan keluarga.

“Dengan mengetahui tahap kesihatan diri, maka kesedaran untuk mencegah sesuatu penyakit daripada bertambah serius dapat dilakukan, seperti penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis, kolestrol, jangkitan, masalah paru-paru, mata, demam dan lain-lain”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Najib Tay berkata, sempena dengan Program Kempen Saringan Kesihatan itu, Kempen Dermah Darah juga diadakan untuk mengisi tabung darah hospital.

Beliau berkata, individu yang sihat dan layak dialu-alukan tampil menderma darah mereka bagi membantu golongan yang memerlukan.

Katanya, program khidmat masyarakat itu mendapat sokongan daripada RASPAND Motor Sdn.Bhd, selaras dengan tanggungjawab sosial korporat mereka.

Sehubungan itu, Najib Tay menjemput orang ramai khususnya masyarakat setempat yang tinggal berdekatan dengan Rumah Raspand agar tampil menyertai Program Kempen Saringan Kesihatan dan Dermah Darah pada ahad ini.