Elak tertipu ejen pekerjaan tawar gaji lumayan bekerja di luar negara – Mustapha

JOHOR: Semua pihak diingatkan agar lebih berhati-hati memilih ejen pekerjaan bagi mengelak menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Skamud berkata, mereka perlu mendapatkan maklumat secara terperinci melalui Kementerian Sumber Manusia serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi mendapatkan pengesahan  agensi pekerjaan sebelum membuat keputusan.

Katanya, pihaknya berharap agar semua pihak lebih berhati-hati dengan ejen pencari kerja ini terutama yang membawa mereka ke luar negara.

“Pastikan menghubungi agensi yang berdaftar atau pihak yang berkaitan untuk mengesahkan ejen pencari kerja tersebut berdaftar terutama bagi mereka yang bekerja ke luar negara ini.

“Kalau tidak itulah banyak berlaku kes penipuan…Ada yang menipu dan akhirnya anak-anak mereka terjebak dengan gejala pemerdagangan manusia ini di negara luar,” katanya di sini hari ini.

Mustapha mengingatkan semua majikan agar memainkan peranan bersama kerajaan dalam membina tenaga kerja mahir tempatan melalui penyediaan latihan berterusan.

“Ini sebagai pelaburan jangka masa panjang dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga buruh asing pada masa hadapan.

“Saya ingin ingatkan supaya pihak majikan menanam matlamat bagi membangunkan serta melahirkan modal insan yang kompeten, produktif, responsif serta berdaya tahan dalam pasaran buruh negara ke arah meningkatkan produktiviti negara,” katanya.

Menurutnya, usaha melahirkan tenaga kerja mahir tempatan adalah satu bentuk pelaburan jangkamasa panjang untuk negara sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Sementara itu dalam perkembangan sama, kementeriannya memandang serius terhadap kebajikan pekerja termasuk penginapan pekerja yang disediakan pihak majikan di negara ini.

“Kita menzahirkan kekesalan terhadap sikap segelintir majikan yang memandang remeh terhadap isu kebajikan dan keselesaan pekerja.

“Setiap majikan perlu mematuhi Akta 446 Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang turut memperuntukkan kewajipan majikan menyediakan penginapan yang selesa kepada pekerja,” katanya.