Permohonan ‘stay of execution’ tidak jejas tuntutan 40 peratus Sabah – Mustapha

KOTA KINABALU: Permohonan penggantungan pelaksanaan perintah mahkamah (stay of execution) berkaitan tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah tidak menjejaskan prinsip tuntutan hak negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, permohonan tersebut dibuat bagi memberi ruang kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah meneruskan rundingan serta penelitian teknikal berkaitan kaedah pengiraan hasil bersih Persekutuan daripada Sabah.

Beliau berkata, Peguam Negara telah memfailkan notis rayuan pada 14 November 2025 terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang diputuskan pada 17 Oktober 2025.

“Selaras dengan itu, Kerajaan Persekutuan turut memfailkan permohonan stay of execution di Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan rayuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mustapha, sejak November 2025 beberapa siri mesyuarat telah diadakan melalui Jawatankuasa Rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi meneliti secara teknikal kaedah pengiraan serta verifikasi data hasil.

Beliau berkata, data hasil bersih Persekutuan daripada Sabah bagi tempoh 2007 hingga 2025 telah dikongsi, manakala usaha sedang dijalankan untuk melengkapkan data bagi tempoh terdahulu termasuk tempoh yang dikenali sebagai “The Lost Years”.

Katanya, permohonan penggantungan itu juga penting bagi memastikan rundingan dapat diteruskan secara teratur tanpa risiko prosiding penghinaan mahkamah sementara menunggu rayuan didengar.

Permohonan tersebut dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 31 Mac 2026.