Perkukuh ukhuwah, perpaduan semasa sambutan Aidilfitri – Musa

KOTA KINABALU :  Rakyat Sabah digesa agar terus memperkukuh ukhuwah serta meningkatkan semangat perpaduan melalui tradisi ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan semasa sambutan Aidilfitri.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman berkata, perpaduan yang kukuh adalah asas kepada kemakmuran dan kejayaan sesebuah negara.

Katanya, melalui perpaduan yang terjalin erat, rakyat mampu menghadapi segala cabaran yang mendatang dan mencipta peluang holistik bagi meningkatkan kesejahteraan hidup bersama.

“Ini menjadikan Aidilfitri sebagai wasilah memperkukuh perpaduan sesama umat Islam dan masyarakat secara keseluruhan selain merai kemenangan dalam perjuangan menongkah arus ujian serta cabaran ibadah puasa dengan takbir, tahmid dan takdis (penyucian).

“Aidilfitri juga bukan sekadar satu perayaan agama, tetapi menjadi medan untuk mengeratkan lagi hubungan dan persefahaman antara ahli keluarga, jiran tetangga, rakan taulan dan masyarakat,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Khas Hari raya Aidilfitri 1446H/2025M, di sini semalam.

Musa berkata, dalam suasana yang penuh keharmonian ini untuk menganjurkan budaya sikap saling hormat-menghormati, berprilaku jujur, tanpa mengira latar belakang sosial, kaum dan agama.

“Kita mengajak umat Islam supaya meningkatkan amalan berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, ibu tunggal, anak-anak yatim dan sebagainya.

“Amalan berkongsi rezeki yang bukan sahaja mengimarahkan suasana Aidilfitri, malah ianya satu usaha terpuji dalam memastikan tiada golongan yang tercicir dalam menempuh arus kemajuan,” jelas Musa.

Menurutnya, sumbangan amal jariah dihulurkan pada hari raya ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka sekali gus mencerminkan sikap keprihatinan yang tinggi golongan dermawan terhadap rakyat di negeri ini.

“Kita turut mengingatkan rakyat mengenai kesihatan diri adalah penting dan perlu dititikberatkan sepankang sambutan Aidilfitri.

“Amalkan gaya pemakanan yang sihat iaitu jangan makan berlebihan dan kawal tabiat pemakanan dan lakukan aktiviti yang boleh memberi kesan positif terhadap kesihatan seperti bersenam dan sebagainya,” katanya.

Beliau menekankan pentingnya mengutamakan keselamatan dalam menyambut Aidilfitri dan menghindari apa jua perkara yang berpotensi mendatangkan musibah.

“Sentiasa berhati-hati semasa memandu dengan mematuhi peraturan jalan raya apabila memandu kenderaan pulang ke kampung, periksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan dan utamakan keselamatan insan-insan tersayang. 

“Di hari lebaran yang mulia ini, saya menggesa rakyat agar bersama-sama menghargai jasa dan pengorbanan pasukan beruniform yang sentiasa mengambil berat dan berdiri teguh memelihara keselamatan rakyat dan negara tanpa mengira keadaan dan suasana,” kata Musa.

Mengakhiri perutusannya, Musa dan isteri Toh Puan Faridah Tussin mendoakan agar Aidilfitri ini disambut dengan meriah dan bermakna seterusnya mengeratkan tali silaturahim dan memperkukuh perpaduan rakyat keseluruhannya