KOTA KINABALU : Seramai 60 orang asnaf serta 10 masjid serta surau di sekitar Pulau Gaya menerima sumbangan sempena menyambut ketibaan Syawal, di sini semalam.
Sumbangan berupa bakul makanan serta wang tunai dari Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Sabah disampaikan TImbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya dalam Program Sahur dan Solat Subuh bersama Penduduk Kampung Pulau Gaya di Masjid Al-Aliff Kampung Pulau Gaya.

Shahelmy berkata, beliau berharap sumbangan tersebut dapat mengeratkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat.
“Tujuan program untuk mengeratkan silaturahim antara MUIS, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta Baitulmal menyerahkan sumbangan Ramadan serta persiapan menjelang ketibaan satu syawal.
“Jadi, kita berharap dengan adanya program seperti ini dapat merapatkan lagi hubungan antara kerajaan dengan masyarakat setempat serta memberi kelegaan dalam membuat persiapan menjelang ketibaan Aidilfitri,” jelasnya.
Shahelmy merupakan Ahli Parlimen Putatan berkata, bantuan disalurkan kepada masjid dan surau dapat memudahkan ahli jawatankuasa menjalankan aktiviti untuk manfaat masyarakat.

“Kita berharap dengan adanya sumbangan ini masjid dan surau-surau boleh menggunakan sumbangan tersebut untuk aktiviti,” kata Shahelmy.