Potensi pelancongan makanan di Sabah perlu dikembangkan – Christina

KOTA KINABALU : Kejayaan Bufet Ramadhan SICC 2025 yang menyajikan 850 hidangan Asia Kontinental mendorong Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew, untuk menggesa pemain pelancong meneroka potensi pelancongan makanan di Sabah.

Christina menyatakan bahawa aktiviti luar biasa ini telah menarik ramai pengunjung dengan purata 1,650 pelanggan tempatan dan antarabangsa setiap malam sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, pelancongan makanan adalah satu lagi dimensi yang berkembang dalam industri pelancongan Sabah, memandangkan negeri ini terkenal sebagai syurga makanan selain keunikan alam semula jadi, pengembaraan, selaman dan pelancongan hidupan liar.

“Saya percaya pakej pelancongan makanan akan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, yang sememangnya sudah menjadi destinasi pilihan pelancong, terutama bagi mereka yang ingin menikmati pengalaman kulinari yang unik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menikmati Bufet Ramadhan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini semalam.

Terdahulu, Bufet Ramadan sepanjang bulan ini, menampilkan hidangan tempatan, antarabangsa serta Menu DiRaja (iaitu menu yang disajikan di Istana).

Menurutnya, industri pelancongan makanan akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi tempatan dengan meningkatkan keperluan pengeluaran serta memperkukuhkan rantaian bekalan makanan.