KOTA KINABALU: Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah (PERKIS) perlu memainkan peranan penting dalam memperkasakan pelbagai program agama yang berkualiti di negeri ini.
Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, PERKIS perlu memanfaatkan kekuatan sedia ada melalui warganya yang mempunyai pelbagai latar belakang professional dalam meningkatkan syiar Islam.
Katanya, PERKIS perlu memainkan peranan penting dalam mencapai objektif bagi mendekati rakyat, melalui wadah dakwah serta aktiviti kebajikannya.
“InsyaAllah saya akan sentiasa membantu agar syiar Islam akan sentiasa segar serta berkembang di bumi Sabah yang bertuah ini.
“Kita berharap agar frontliner seperti PERKIS serta ahli masjid terus memperkaya ilmu pengetahuan dunia dan akhirat sekali gus membantu kerajaan negeri melalui pendekatan Sabah Maju Jaya untuk kita berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain dari semua segi.
Yakub berkata, terdapat lima objektif pelan pelaksanaan Sabah Maju Jaya salah satu daripadanya adalah Membangunkan modal insan.
Daripada tiga elemen pelan Sabah Maju Jaya, salah satu elemen terpenting adalah modal insan dan kesejahteraan rakyat.
“Ini membuktikan bahwa halatuju Kerajaan negeri juga menghala kepada membina ummah yang berkualiti berasaskan kepada ilmu, bekerja dengan berintegriti dan berbakti dengan ikhlas,” katanya.
Di majlis itu, Pengerusi Masjid Kampung Rampayan Manggatal Masri Mansor diumumkan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kota Kinabalu manakala Makrup Tammu Tokoh Masjid Nurul Hikmah.