Perkhidmatan Awam Sabah perlu komited perkukuhkan imej Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Sektor Perkhidmatan Awam Kerajaan Sabah perlu bersedia kepada perubahan terhadap proses kerja serta komunikasi berkualiti sekali gus mampu meningkatkan imej negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata mereka perlu tampil dengan idea lebih bernas serta berani, agresif membuat penambahbaikan demi mencapai konsep Sabah Maju Jaya.

Katanya, ini sejajar dengan matlamat kerajaan agar memberi tumpuan terhadap usaha mewujudkan Sabah mesra pelabur sekali gus menarik pelaburan asing berkunjung ke wilayah ini.

“Kita mahu membawa lebih banyak pelabur datang dan memastikan urusan pelaburan itu dipermudahkan, sistem penyampaian perkhidmatan awam juga perlu dipertingkatkan.

Langkah itu akan mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan, sekali gus dapat meningkatkan kemajuan ekonomi negeri”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (ISAS) tahun 2021 di sini hari ini.

Dalam tempoh sama Hajiji berkata Pejabat Setiausaha Kerajaan Sabah dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Persekutuan dapat aktif berbincang dan membuat kolaborasi strategik bagi menjadikan 2022 sebagai lonjakan perubahan di negeri ini.

“Ketua jabatan memainkan peranan yang amat signifikan dalam menerajui Hala Tuju Inovasi Agensi yang diterajui,” tegasnya.

Menurutnya, Kerajaan menjadikan inovasi sebagai salah satu agenda utama dalam memperkasakan sektor awam Sabah. 

“Selaras dengan inisiatif Hala Tuju SMJ, saya menyokong padu pelaksanaan program inovasi ini dengan harapan sistem penyampaian dalam perkhidmatan awam Sabah dapat ditambah baik agar perkhidmatan terbaik dapat disampaikan dari semasa ke semasa dengan lebih pantas dan memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Sekiranya kita leka, malas dan sukar untuk mengadaptasi perubahan ini, maka kitalah yang akan hanyut serta tertinggal di belakang dalam arus digitalisasi pada hari ini. 

“Sesungguhnya, dalam usaha membudayakan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan awam pada hari ini, penjawat awam perlu lebih peka dan responsif dengan keperluan rakyat. Tiada guna sekiranya idea berinovasi yang dicetuskan, tidak praktikal atau tidak selaras dengan kehendak sebenar pelanggan kita,” katanya.