Perkasa strategi penglibatan wanita dalam sosial, ekonomi, politik – Azizah

KOTA KINABALU : Penyertaan wanita Sabah dalam sektor ekonomi, sosial dan politik masih rendah sekali gus memerlukan strategi serta perancangan kukuh bagi meningkatkannya.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Disember 2024, penyertaan wanita dalam jawatan pengurusan meningkat kepada 25.4 peratus pada tahun 2023, berbanding 23.8 peratus pada tahun sebelum ini.

Katanya, berbanding di Sabah hanya 28 peratus jawatan Ahli Lembaga Pengarah dan CEO dalam syarikat GLC dipegang oleh wanita sekali gus memerlukan usaha yang lebih berstruktur dan terancang.

“Sebaliknya, 69.3 peratus daripada pemilik perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah wanita, menunjukkan dominasi wanita dalam sektor keusahawanan.

“Namun ia masih terdapat pertindihan dalam pendaftaran usahawan wanita di bawah pelbagai agensi, yang menunjukkan keperluan untuk pangkalan data yang lebih sistematik bagi menyokong pertumbuhan perniagaan wanita secara lebih strategik,” katanya di sini hari ini.

Azizah berkata, walaupun statistik ini menunjukkan kemajuan, angka itu masih belum mencerminkan potensi sebenar wanita dalam kepimpinan sektor korporat dan ekonomi.

“Bagi memastikan perubahan yang lebih bermakna, usaha pemerkasaan wanita tidak boleh bergantung kepada inisiatif dalam sektor individu atau syarikat.

“Ia termasuk mewujudkan ekosistem yang lebih menyokong penyertaan wanita dalam kepimpinan,” jelas Azizah.

Menurutnya, kerajaan mengambil langkah proaktif dalam memperkukuhkan kedudukan wanita sebagai pemimpin dalam sektor korporat dan profesional.

“Dalam Belanjawan 2025, beberapa inisiatif telah diperkenalkan bagi memperluaskan peluang wanita dalam sektor ini.

“Ini termasuklah Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS)  yang bertujuan melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam dunia korporat,” kata Azizah.