BEAUFORT: Tanah seluas enam ekar akan diperuntukkan bagi mendirikan sebuah ‘Perkampungan Budaya’ masyarakat suku kaum Bisaya di negeri ini.
Presiden Persatuan Bisaya Sabah (PBBS) Ruslan Muharam berkata, perkampungan budaya ini nanti mampu menjadi mercu tanda kepada PBBS seperti mana bangunan etnik yang wujud di seluruh negeri ini.
Katanya, ini termasuklah bangunan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) Hongkod Koisaan di Penampang bagi masyarakat Kadazandusun manakala Pusat Kebudayaan Murut di Tenom bagi etnik Murut di Tenom.
“Sudah tentu perkampungan budaya itu nanti mampu menjadi kebanggaan suku kaum Bisaya sekali gus menjadi antara kawasan tumpuan utama kehadiran pelancong dalam negeri dan luar negara.
“Kita akan berusaha untuk merealisasikan cadangan ini demi untuk suku kaum Bisaya. Kita yakin atas kerjasama semua Ahli Jawatankuasa baharu ini perkara ini akan dapat dijadikan kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam mesyuarat agung tahunan perwakilan tahunan kali ke-29 bagi sesi 2021-2024, di sini semalam.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, sesuai dengan halatuju disenaraikannya beliau berjanji akan membangunkan bangunan PBBS yang ada untuk dijadikan sebagai perkampungan budaya tersebut.
“Kita berharap agar kepimpinan baharu bersedia menjalankan tugas serta tanggungjawab masing-masing yang diamanahkan.
“Kita akan sentiasa bekerjasama memperjuangkan segala yang dirancang dan ini sudah lama dipraktikkan dalam PBBS,” katanya.
Ruslan melahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pemilihan kepimpinan persatuan yang baharu ini.
Beliau memuji sikap semua ahli PBBS yang mementingkan perpaduan serta berterima kasih dengan Pembantu Menteri I
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih atas keputusannya menarik diri daripada bertanding untuk jawatan President demi kepentingan persatuan.
“PBBS menghargai sokongan ditunjukkan Isnin menyumbangkan wang sebanyak RM5,000 untuk digunakan sempena pemilihan kepimpinan yang baharu dan meluluskan peruntukkan untuk pembuatan gelanggang gasing sebanyak RM20,000,” katanya.