KOTA KINABALU: Tindakan yang membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai satu perbuatan yang tidak menghormati usaha memerangi pandemik Covid-19.
Menurut Utusan Malaysia, Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, sekarang terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memutuskan sama ada ingin memenuhi kehendak ahli politik di Melaka mahupun ingin memberi fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau berkata, politik seharusnya menunjukkan perkembangan yang baik ketika pandemik ini dan bukannya menjadi lebih teruk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan ini berkata, rakyat sedang menderita dengan pelbagai masalah dan kini terpaksa berhadapan dengan cabaran ekonomi semasa. Perkara sebegini seharusnya menjadi keutamaan wakil rakyat.
“Demi rakyat, kita tidak boleh membiarkan konflik politik ini berlarutan kerana jika dibiarkan, rakyat akan memberi tanggapan negatif terhadap ahli politk. Apa yang kita cuba tunjukkan kepada bakal pemimpin masa hadapan?,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.
Salleh, yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini berkata, ketika berhadapan pandemik Covid-19 ini, perbezaan politik harus diketepikan bagi membolehkan agenda nasional dan kepentingan rakyat diberi keutamaan.
Maka, bagi memastikan kestabilan politik mampu dicapai, ahli-ahli politik seharusnya berhenti bertengkar dan memberi fokus untuk membantu rakyat yang terjejas.