PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Kobusak berhampiran Lido Plaza, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Sammy Newton berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Nosoob menuju ke lampu isyarat Kobusak.
Menurutnya, setibanya di lokasi, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
“Akibat kejadian itu, mangsa terjatuh ke dalam parit berhampiran selekoh sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
