KOTA KINABALU: Seorang Pensyarah berstatus Profesor dan bertugas di sebuah universiti di Sabah bakal dituduh di mahkamah dengan dakwaan mengemukakan tuntutan palsu melibatkan dana penyelidikan berjumlah lebih RM66,000.
Lelaki berusia 55 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada jam 10 pagi semalam.
Menurut sumber profesor terbabit dipercayai mengemukakan tuntutan palsu pada tahun 2014 hingga 2017 semasa bertugas sebagai pengarah institut di universiti berkenaan.
Difahamkan tuntutan palsu tersebut melibatkan dana penyelidikan namun tiada perbelanjaan dilakukan.
Sementara itu Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Beliau berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Tambahnya suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan dijangka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dalam tempoh terdekat.