Pengamal perubatan Sabah diingatkan tidak terlibat pengeluaran sijil vaksinasi palsu

KOTA KINABALU: Pengamal perubatan di Sabah diingatkan agar tidak terlibat dalam kegiatan pengeluaran sijil digital vaksinasi palsu seperti yang berlaku di beberapa negeri lain.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata hal ini kerana terdapat laporan bahawa pengamal perubatan di beberapa negeri lain memalsukan sijil vaksinasi sebelum dijual kepada orang ramai yang enggan mendapatkan vaksin.

“Setakat ini di Sabah, tiada (pengamal perubatan) terlibat, tetapi (laporan pemalsuan) ada di Melaka, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur dan Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas majlis istiadat tamat latihan dan penyampaian sijil pelantikan pegawai sukarelawan polis siswa/siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Zaini Jass dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Prof Madya Dr Ramzah Dambul.

Terdahulu Razarudin menyampaikan sijil pelantikan SUKSIS kepada 52 pelajar UMS dan beliau berharap melalui modul yang telah dipelajari sepanjang mengikut latihan itu akan mampu melahirkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar berkenaan.

– BERNAMA