KOTA KINABALU : Kerajaan negeri tetap komited dalam mempertingkatkan lagi pengajian Al- Quran di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, antara inisiatif yang sedang diusahakan ialah meningkatkan kapasiti pengambilan pelajar Institut Tahfiz Negeri sehingga 300 orang pelajar untuk masa akan datang.

Katanya, langkah ini bukan sekadar ingin melahirkan lebih ramai hufaz, akan tetapi lebih menjurus ke arah membina generasi pencinta Al-Quran.
“Inilah golongan yang diharapkan sebagai pejuang tamadun bangsa berlandaskan prinsip-prinsip ajaran al-Quran.
“Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur pendidikan yang lebih baik bagi mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya di sini semalam.
Hajiji berkata, ini termasuklah membaik-pulih sekolah serba daif, selain meninjau kemungkinan membina sekolah baharu di kawasan yang strategik.
“Ini bagi menampung keperluan semasa, sesuai dengan bilangan murid yang semakin meningkat tahun ke tahun.
“Kerajaan juga terus komited menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan di negeri ini,” jelas Hajiji.
Menurutnya, ini sejajar dengan dasar kerajaan seperti mana yang termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Bagi menyokong usaha itu, kerajaan menambah dana Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada hanya RM51 juta kepada RM128 juta pada tahun 2025 ini.
“Pertambahan berlipat kali ganda itu, selain beberapa lagi insentif pendidikan yang lain, diharapkan lebih ramai anak-anak Sabah berpeluang menerima bantuan kemudahan pendidikan,” kata Hajiji.
Beliau menambah, keutamaan kepada mereka menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, sama ada di dalam atau luar negara .
“Ini termasuk jugalah pengajian dalam bidang agama atau pun pengajian Islam,” tambahnyq.