LABUAN: Kegiatan penyimpanan minyak diesel tanpa kebenaran dipercayai bagi tujuan pemindahan barang kawalan terbongkar selepas diserbu dalam Ops Tiris 4.0 dan Op Keberhasilan di Kampung Tanjung Aru, di sini.
Dalam serbuan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menemukan sebuah rumah yang dipercayai dijadikan lokasi persinggahan serta penyimpanan sementara minyak diesel sebelum dipindahkan ke lokasi lain.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, serbuan dilakukan hasil risikan Unit Risik KPDN yang mengesan aktiviti mencurigakan di premis berkenaan.
Katanya, pemeriksaan menemukan tiga tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi cecair disyaki minyak diesel.
“Turut disita ialah tiga unit pam elektrik lengkap bersama hos, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah tangki tambahan kenderaan yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemindahan barang kawalan terbabit.
“Jumlah keseluruhan minyak diesel yang ditemui di lokasi dianggarkan sebanyak 2,870 liter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM106,570.50 dan disita untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
