KUNAK : Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas pelbagai bahan buangan termasuk sisa elektronik bernilai lebih RM19 juta dalam serbuan di sebuah premis di daerah Tawau, di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 22 PGA Kunak, Supt Norman Chendan Anak Philip Picha Rumpang berkata, rampasan itu dilakukan Batalion 22 PGA Kunak ketika melaksanakan operasi Ops Bersepadu Hazard bersama Jabatan Alam Sekitar Daerah Tawau.
Katanya, dalam serbuan berkenaan, pihaknya turut menahan 12 individu termasuk seorang wanita.
“Semua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.
Norman berkata, kejayaan operasi ini adalah rampasan tertinggi setakat tahun ini iaitu sebanyak RM19,395,550.
“Batalion 22 PGA Kunak akan sentiasa meneruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa.
“Ini bagi memburu pihak-pihak yang cuba mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman di negara ini,” jelas Norman.