Konsep 3R diterapkan kepada pelajar Politeknik Tawau Sabah – Mohd Sahran

KUNAK : Konsep 3R perlu diamalkan setiap pelajar bagi memastikan masa depan mereka sentiasa terjamin selepas menamatkan pengajian kelak.

Pengarah Politeknik Tawau Sabah (PTS), Mohd Sahran @ Awang Mohidin berkata, konsep itu merangkumi rasa tanggungjawab (Responsibility) serta mencari penyelesaian terbaik dalam mendepani cabaran (Resolution).

Antara aktiviti pendaftaran peserta dikendalikan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Politeknik Tawau Sabah.

Katanya, selain itu sentiasa mengamalkan sikap hormat-menghormati (Respect) sesama pelajar, membabitkan warga institusi serta komuniti setempat mereka.

“Kita berharap agar barisan ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) baharu dilantik ini dapat memanfaatkan sepenuhnya amalan 3R berkenaan.

“Ini khususnya dijadikan sebagai panduan kepada JPP untuk memulakan tugas agar menjadi contoh baik kepada rakan siswa lain,” katanya di sini semalam.

Yang Dipertua bersama Naib melaksanakan kerja-kerja di kawasan program.

Mohd Sahran berkata, perkara sangat penting memandangkan lantikan JPP ini adalah merupakan hasil daripada undian rakan siswa mereka sendiri.

Sementara itu, Ketua Unit Hal Ehwal Pelajar Politeknik Tawau Sabah (PTS), Dr. Alfian Thomas berkata, program Madai Nature Fun Run Trail 2025 merupakan jemputan kali kedua penyertaan melibatkan pelajar PTS.

Katanya, ini secara langsung dapat memberikan pengalaman bertugas sebagai sukarelawan siswa dalam program yang dianjurkan.

Persediaan kawasan program larian di Hutan Simpan Madai Baturong, Kunak.

“Program anjuran Koperasi Komuniti Pelancongan dan Kebudayaan Madai Berhad (KOKOM) merupakan acara tahun dianjurkan bersama Pejabat Perhutanan Daerah Kunak bertempat di Pusat Sejadi Madai Baturong, Kunak.

“Ini merupakan antara peluang terbaik bagi menimbah pengalaman, secara tidak langsung dapat melahirkan pelajar yang holistik serta mampu berdaya saing pada masa depan,” kata Alfian. 

Menurutnya, Politeknik Tawau sentiasa menekankan kepada pelajar bahawa kecemerlangan bukan dari segi akademik malah perlu aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.