GRS yakin kekal membentuk kerajaan selepas PRN- Hajiji

TAWAU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin akan kekal membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ini berikutan pencapaiannya dalam membawa perubahan selepas lebih empat tahun memerintah di Sabah.

Hajiji bersalaman dengan orang ramai.

Katanya, beliau memberi jaminan  isu bekalan air akan dapat diselesaikan tahun ini selepas kerja penambahbaikan dilaksanakan.

“Isu air saya bagi jaminan kita dapat selesaikan pada tahun ini. Kita ada peruntukan, loji air kita akan dinaik taraf dan dibaiki.

“Begitu juga masalah paip bocor, kita akan baiki, jadi masalah air ini kita akan selesai pada tahun ini….Kita ada perancangan, kita ada usaha, bukan kita cakap kosong,” katanya di sini hari ini.

Hajiji merupakan Pengerusi GRS berkata, GRS bukan bercakap kosong seperti pembangkang sekali gus terbukti gagal memyelesaikan masalah rakyat ketika memerintah dahulu.

Hajiji ditemani Liew Yun Fah menyampaikan duit raya kepada orang ramai.

“Pembangkang umpama tin kosong, memang besar bunyinya kalau diketuk. Tapi kita empat tahun memerintah sudah banyak kita capai.

“Percayalah dalam PRN akan datang kerajaan GRS akan membentuk kerajaan sekali lagi. Jadi saya tidak mahu Merotai ketinggalan kali ini, Merotai mesti diwakili wakil kerajaan.

“Kita mesti menang di sini, majukan Merotai. Kita bukan bercakap kosong, kita ada hala tuju,” jelas Hajiji.

Menurutnya, GRS menyasarkan untuk menawan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tawau dan Kalabakan pada PRN17 nanti.

“Kerajaan GRS – Pakatan Harapan (PH) Plus mempunyai hala tuju agenda besar bagi membangunkan Sabah, termasuk di Tawau dan Kalabakan demi kepentingan rakyat negeri ini.

“Pada PRN nanti mesti undi GRS kerana banyak pencapaian yang kita berjaya lakukan sepanjang empat tahun memerintah negeri ini berbanding kerajaan sebelum ini,” kata Hajiji.