Penduduk Putatan perlu waspada terhadap amaran dikeluarkan MetMalaysia – Jeffrey Nor

PUTATAN  : Penduduk dinasihatkan agar sentiasa berwaspada sekali gus peka terhadap keadaan sekitar  memandangkan keadaan hujan serta ribut yang melanda sejak beberapa hari lalu.

Ketua UMNO Bahagian Putatan Jeffery Nor Mohamed berkata, mereka perlu berwaspada selepas beberapa amaran dikeluarkan Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) laporan ribut petir melanda beberapa kawasan di negeri ini.

Jeffrey Nor meninjau keadaan rumah rosak di kawasan Pulau Gaya.

“Kita berharap penduduk di kawasan ini serta sekitarnya sentiasa  mengambil langkah berjaga-jaga  bagi mengelakkan risiko berlakunya banjir kilat, tanah runtuh serta pokok tumbang.

“Sentiasa peka terhadap amaran yang dikeluarkan pihak Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) pada setiap masa,” katanya.

Beliau berkata selepas demikian meninjau beberapa rumah dilaporkan rosak di sekitar kawasan Pulau Gaya di sini semalam.

Jeffery Nor bersama rombongan UMNO Bahagian Putatan menaiki bot dalam keadaan hujan serta ribut ke Pulau Gaya semata-mata untuk  meninjau sendiri keadaan rumah penduduk terjejas teruk ekoran ribut yang melanda mereka.

Jeffrey Nor bersama salah seorang pemilik rumah terjejas akibat ribut melanda di Pulau Gaya.

“Kita bersimpati dengan kejadian melanda mereka. Ini merupakan musibah yang tidak dijangka, UMNO Putatan akan membantu setakat termampu bagi meringankan beban mangsa.

“Ini termasuk untuk memeriksa serta berusaha untuk memperbaiki beberapa kerosakan kecil rumah yang boleh diperbaiki dalam tempoh terdekat,” jelas Jeffrey Nor.

Menurutnya, beliau berharap agar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat menjalankan pemeriksaan sekali gus dapat menyalurkan bantuan kepada mangsa terlibat.

“Kita juga mengingatkan agar orang ramai suoaya menangguhkan dahulu aktiviti ke laut sehingga keadaan cuaca kembali stabil.

“Penduduk dinasihatkan agar menjauhi kawasan pantai dan kawasan lapang bagi mengelak kejadian tidak diingini serta tidak meletakkan kenderaan di kawasan berpokok berikutan banyak kejadian dilaporkan berkaitan kenderaan dihampap pokok,” kata Jeffrey Nor.