Penduduk mengeluh MPS akan naikkan kadar bayaran cukai pintu mulai Januari 2024

SANDAKAN: Penduduk di daerah ini mengeluh susulan kenaikan kadar bayaran cukai pintu oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang akan bermula Januari 2024.

Menurut Lin Fui Yun, notis pemberitahuan yang tular di media sosial baru-baru ini sekaligus memberi tekanan kepada pembayar cukai pintu secara keseluruhannya.

“Saya sebenarnya baharu tahu kadar cukai pintu akan dinaikkan tahun depan. Kalau mengikut surat notis itu, ia dikeluarkan pada Ogos, tetapi saya hanya tahu mengenai perkara ini beberapa hari lepas. Itu pun selepas notis itu tular di Whatsapp.

“Saya rasa ini bukan masa yang sesuai untuk kadar cukai pintu dinaikkan. Kenaikan kadar tersebut sudah pasti akan meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Lin menyifatkan tindakan MPS yang mengenakan bayaran sebanyak RM5 bagi mana-mana individu yang mahu membuat bantahan berhubung kenaikan nilai kadar cukai pintu juga disifatkan sebagai tidak masuk akal.

“Tidak patut borang bantahan diniagakan sedangkan urusan pentadbiran ketika ini kebanyakannya dilaksanakan secara atas talian.

“MPS perlu mengemukakan alasan mengapa perlu menaikkan kadar cukai pintu. Adalah lebih baik dalam keadaan ekonomi tidak menentu pada ketika ini, pihak MPS tidak menaikkan apa-apa dan lebih fokus dalam menambah baik servis perkhidmatan terlebih dahulu,” jelasnya.

Jelasnya, banyak perkara lain yang boleh diberi perhatian oleh MPS sebelum menaikkan kadar cukai pintu seperti penyelenggaraan taman awam, sistem perparitan dan kebersihan khususnya di Bandar Sandakan yang masih di tahap rendah.