LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) seorang kru bot nelayan yang dipercayai terjatuh ke laut di perairan Tanjung Kubung, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros, berkata operasi hari kedua bermula seawal jam 7 pagi dengan pembahagian sektor pencarian meliputi kawasan seluas kira-kira 68 batu nautika persegi.
Menurut beliau, operasi itu dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan beberapa aset Maritim Malaysia serta kerjasama agensi keselamatan lain bagi meningkatkan keberkesanan pencarian.
“Antara aset yang digerakkan ialah Kapal Maritim (KM) Lahad Datu bersama Bot Penggalang 24, Bot PSC 1 milik Pasukan Polis Marin.
“Kita juga menggunakan sebuah bot kevlar milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang menumpukan pencarian di kawasan pesisir pantai utara Labuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Rosli Awit, 49, warganegara Malaysia dari Tawau, Sabah, dipercayai terjatuh ke laut kira-kira jam 8.43 pagi pada hari kejadian.
Mangsa dilaporkan kali terakhir memakai baju lengan panjang berwarna biru.
Izwanhadi berkata setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian akan diteruskan bergantung kepada keadaan cuaca serta faktor keselamatan anggota dan aset terlibat.
Orang awam khususnya komuniti maritim dan nelayan di sekitar perairan Tanjung Kubung diminta menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu usaha pencarian.
Maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau melalui talian kecemasan 999.
