LAHAD DATU: Dua lelaki bukan warganegara ditahan manakala empat buah motosikal disita dan 13 saman dikeluarkan dalam Operasi Motosikal Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Lahad Datu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain menunggang motosikal tanpa lesen.
“Dalam operasi sama, empat buah motosikal turut ditahan dan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menurut beliau, operasi yang diketuai Ketua BSPT IPD Lahad Datu, Inspektor Mohd Riduan Mohd Abdullah @ Mustaffa itu dijalankan di beberapa lokasi tumpuan termasuk Pusat Bandar Lahad Datu, Bandar Sri Perdana, Bandar Fajar Centre serta Jalan Lahad Datu–Sandakan–Tawau.
Katanya, operasi berkenaan bertujuan membanteras aktiviti samseng jalanan serta mengesan pelbagai kesalahan trafik yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti samseng jalanan dan operasi seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Lahad Datu di talian 089-881255.
