TAWAU : Polis menahan seorang lelaki warga asing dipercayai terlibat dengan kes curi motorsikal dan memasukkan dadah ke dalam tubuh badannya di kawasan perumahan pekerja di Brumas dekat sini, semalam.
Tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis daripada Balai Polis Tawau dan Balai Polis Bombalai dengan dibantu oleh Polis Bantuan Sabah Softwood.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata sewaktu ditahan suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan.
Katanya sewaktu pemeriksaan tubuh badan dijalankan, polis telah menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu anggaran berat 0.05gram.
Suspek juga dipercayai terlibat dengan kes kehilangan motosikal di Balung, katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata Polis Tawau akan terus giat menjalankan operasi dari masa ke semasa dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah sama ada curi atau pun dadah diminta untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak Polis.