Polis Tawau musnahkan gelanggang sabung ayam di Kalabakan

TAWAU : Tindakan pantas Polis Tawau telah berjaya mematahkan cubaan untuk mengadakan aktiviti jenayah perjudian sabung ayam di kawasan ladang sawit Kalabakan.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata, hasil maklumat daripada anggota Balai Polis Kalabakan itu, pemantauan dijalankan dan mendapati gelanggang sabung ayam tersebut baru sahaja siap dibina di kawasan terbabit.

Katanya serbuan yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Kalabakan SM Marjumin itu sendiri bersama sepasukan polis telah memusnahkan dan membakar gelanggang sabung ayam tersebut.

“Gelanggang sabung ayam itu dimusnahkan agar tidak ada sebarang aktiviti menyalahi undang-undang yang akan dijalankan pada masa hadapan di kawasan terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jasmin berkata polis memandang serius perkara ini dan memberi amaran kepada masyarakat agar tidak sama sekali terlibat dengan aktiviti perjudian sabung ayam mahupun hanya sekadar hadir sebagai penonton sekalipun.

Katanya orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktivit perjudian sabung ayam atau pun apa-apa keslahan jenayah boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di talian 089-752222 dan melalui aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) daripada telefon bimbit masing-masing.