Pemuda UMNO sedia rampas 6 kerusi Bersatu jika berlaku PRK – Mohamad Akmal

LABUAN : Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersiap sedia untuk merampas enam kerusi kawasan parlimen tersebut sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh terdekat.

Ketuanya, Dr Mohamad Akmal Saleh berkata, jentera pergerakan Pemuda UMNO akan berusaha bersungguh bekerja keras untuk merampas sekali gus memastikan kemenangan kepada kesemua kerusi berkenaan.

Katanya, ini kerana enam kerusi itu termasuk Parlimen Kuala Kangsar, Gua Musang, Jeli, Bukit Gantang, Tanjung Karang dan Labuan sebelum ini merupakan kerusi tradisi parti UMNO.

“Sudah tentu Pergerakan Pemuda UMNO akan mempertahankan kesemua kerusi ini….Kita akan pastikan UMNO bersiap sedia bertanding dikerusi ini sekira berlaku PRK dalam tempoh terdekat.

“Ia tidak boleh ditukar ganti, UMNO bersama Barisan (BN) mesti bertanding di enam kerusi ini jika ada PRK,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian UMNO Labuan di sini, hari ini.

Mohamad Akmal berkata, Pemuda UMNO membuat ketetapan agar usul ini diangkat ke Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MKT) sebagai sokongan terhadap suara ahli UMNO di peringkat akar umbi agar kerusi itu dari calon UMNO.

“Bagaimanapun ini semua bergantung kepada keputusan yang akan di putuskan oleh pihak Mahkamah dan Dewan Speaker sama ada perlunya pengosongan  kerusi Parlimen tersebut atau sebaliknya.

“Tetapi kalau mengikut undang-undang pilihan raya perlu diadakan maka kita akan akur dan seperti yang saya katakan  tadi…Enam kerusi itu merupakan kerusi tradisi UMNO termasuk kerusi Parlimen Labuan yang tidak boleh ditukar ganti,” jelas Mohamad Akmal.

Hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO merupakan Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan, Timbalannya, Datuk Bashir Alias serta Naib, Datuk Khalid Ab. Ghani.