Pemuda PAS kunjungan hormat Pemuda GERAKAN

KOTA KINABALU: Pemuda PAS Negeri Sabah mengadakan kunjungan hormat sempena Tahun Baharu Cina terhadap Pemuda GERAKAN Sabah di pejabat rasmi parti itu di Jalan Penampang, dekat sini kelmarin.

Kunjungan hormat ini bagi memperkukuh hubungan antara dua sayap parti iaitu Pemuda PAS Sabah dan Pemuda GERAKAN Sabah sebagai pemangkin keutuhan Perikatan Nasional dalam peringkat negeri Sabah.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah berkata Pemuda PAS berbesar hati atas kesudian Pemuda GERAKAN menerima kunjungan mahabah itu julung-julung kali antara kedua pihak itu.

Katanya, hubungan dan sinergi bersama dalam kalangan Perikatan Nasional perlu diperkukuhkan dari sudut ziarah dan kunjungan agar dapat mengadakan korelasi gerak kerja yang boleh dimanfaatkan bersama.

Akhir pertemuan itu, kedua-dua sayap parti bersetuju melaksanakan tindakan-tindakan kebersamaan iaitu pertemuan berkala dan program yang melibatkan gerak kerja kebajikan dan kesukarelawanan.

Hadir mengetuai kunjungan ialah Ketua Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah dan Timbalan serta Naib Ketua Pemuda PAS Sabah, Hamdi Hassan dan Huzaini Rohani serta beberapa Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Sabah.