Pemuda Gagasan Rakyat buat laporan polis isu fitnah Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat mengambil tindakan membuat laporan polis berhubung satu hantaran di Facebook yang didakwa mengandungi tuduhan tidak berasas, fitnah serta penghinaan terhadap Ketua Menteri Sabah.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, penyebaran maklumat tidak sahih bukan sahaja boleh mengelirukan rakyat, malah berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk fitnah atau kenyataan tidak berasas yang boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa kerajaan Persekutuan, khususnya Wisma Putra, memberikan penjelasan segera berhubung isu berkenaan bagi mengelakkan manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Azrul berkata, pihaknya juga berharap tindakan tegas diambil di bawah undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap individu terlibat.