Dua bulan ‘line’ lemah, penduduk hilang sabar

RANAU: Penduduk Kampung Timbua di sini meluahkan rasa kecewa apabila masalah rangkaian telekomunikasi berlarutan lebih dua bulan tanpa penyelesaian.

Wakil penduduk, Fadzil John Anthony berkata, gangguan liputan yang lemah dan kerap terputus menjejaskan kehidupan harian termasuk komunikasi, perniagaan kecil dan pembelajaran pelajar.

“Penduduk masih perlu membayar caj walaupun perkhidmatan tidak memuaskan,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu turut memberi kesan kepada situasi kecemasan yang memerlukan capaian rangkaian stabil.

Penduduk mendesak pihak syarikat telekomunikasi dan agensi berkaitan menyiasat segera punca gangguan serta melaksanakan kerja pembaikan.