PETALING JAYA: Peluang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, untuk mengekalkan jawatan itu pada pemilihan parti akan datang, kelihatan cerah apabila mendapat sokongan daripada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, beliau telah mengamanahkan Rafizi yang juga Menteri Ekonomi, untuk menjadi timbalannya, dan Rafizi harus diberi ruang untuk menjalankan tugas serta tanggungjawabnya.
“Biar Rafizi diberi laluan mudah,” kata Perdana Menteri pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Selangor, semalam, sebagaimana dilaporkan portal berita FMT.
Bulan lalu, Setiausaha Politik Kanan kepada Anwar, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata perbincangan masih berjalan berhubung cadangan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu pada pemilihan dijadualkan berlangsung Mei depan.
Ditanya sama ada cadangan itu akan melanggar prinsip demokrasi parti, beliau dipetik berkata, rundingan adalah juga sebahagian proses demokrasi.
Katanya, PKR sedang memberi tumpuan kepada agenda lebih penting, iaitu berkhidmat kepada rakyat sebagai kerajaan, dan bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) seterusnya.
Anwar sebelum ini berkata, beliau akan menyerahkan kepada parti untuk memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi itu akan dipertandingkan.
Tegasnya, beliau tidak mahu campur tangan dalam perkara itu, dan menghormati proses demokrasi dalam PKR.
Pemilihan peringkat cawangan dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 20 April depan, manakala pemilihan pucuk pimpinan pusat akan diadakan pada 24 Mei.
Pemegang jawatan semasa dalam PKR telah berkhidmat sejak 29 Mei 2022.