Taman-Taman Sabah senaraikan 154 ‘Calender Of Events 2025’ – Christina

KOTA KINABALU : Taman-Taman Sabah (TTS) menyusun 154 program disenaraikan dalam ’Calendar of Event 2025’ TTS.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew berkata, program, tersebut merangkumi 49 acara besar membabitkan penganjuran peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Katanya, antaranya termasuk Restorasi Karang Malaysia Book of Record Taman Tun Mustapha, Kudat; Persidangan Jaringan Geopark Malaysia serta Program Renjer Muda membabitkan peringkat negeri dan Kebangsaan.

”KePKAS sentiasa menyokong serta membantu untuk memastikan TTS ini dapat direalisasikan serta memberi manfaat sepenuhnya kepada negeri Sabah,” katanya pada Majlis Penghargaan Lembaga Pemegang Amanah TTS 2024.

Christina berkata, dalam tempoh 61 tahun, TTS berjaya memberikan insentif kewangan sebulan gaji kepada warganya menerusi pelbagai pencapaian dicapai selain pengurusan kewangan yang mampan.

“Insentif kewangan sebulan gaji itu melibatkan peruntukan sebanyak lebih RM1.5 juta itu adalah Lebihan Unjuran Hasil Tahun 2023.

”Pada tahun lalu, Lembaga Pemegang Amanah TTS melalui satu perjalanan gemilang, sebanyak 79 program termasuk acara besar dianjurkan sepanjang tahun sebagai pengisian sambutan Jubli Intan TTS,” jelas Christina.

Menurutnya, ia termasuk Pemasyhuran Kinabalu UNESCO Global Geopark, Triple Crown UNESCO dan Pelancaran Sambutan Jubli Intan (60) TTS dirasmikan Ketua Menteri Sabah pada 19 dan 20 Januari tahun lalu.

“Acara besar berjaya dianjurkan TTS termasuk penguatkuasaan penggunaan sistem kewangan tanpa tunai di seluruh kawasan Taman bermula pada 1 Januari 2024, selain Penubuhan Pusat Kelestarian dan Pembangunan Komuniti (PULESTARI) pada Julai 2024.

“TTS turut berjaya menubuhkan Pusat Latihan Pendakian Aras Tinggi Gunung Kinabalu dan Galeri Gempa di Taman Kinabalu yang telah dirasmikan pada 17 Oktober 2024,” kata Christina.

Beliau menambah, pelancaran pusat pendakian aras tinggi itu merupakan salah satu daripada inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ).