TONGOD : Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dijangka memulakan projek pembinaan dua kedai bertingkat mengandungi 12 unit menelan belanja RM7 juta di daerah ini.
Pengerusinya, Datuk Masiung Banah berkata, fasa pertama ini sudah dimulakan pembinaannya pada awal Jun lalu membabitkan enam unit kedai dengan kos RM3.5 juta.
Katanya, pembinaan projek fasa pertama di atas tapak seluas 1.17 ekar akan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan sebelum meneruskan pembinaan fasa kedua selepas siap kelak.
“Ini akan menjadikan daerah Tongod disenaraikan sebagai daerah termiskin akan berubah wajah sebaik sahaja pekan baharu komersial di bina bermula Jun ini.
“Kita melihat apabila siapnya nanti projek ini akan menempatkan perniagaan komersial termasuk restoren makanan segera serta pelbagai jenis perniagaan akan boleh diusahakan di kawasan ini nanti,” katanya di sini semalam.
Masiung merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, dua unit daripada kedai tersebut akan dicadangkan untuk pembinaan sebuah hotel penginapan di kawasan berkenaan.
“Bangunan komersial dua tingkat itu akan dijual dengan nilai antara RM565,000 hingga RM619,000 bagi unit tepi.
“Ini sudah tentu menjadi mercu tanda baharu di kawasan Tongod sekali gus antara menjadi tumpuan masyarakat selepas siap nanti,” jelas Masiung.