KOTA KINABALU : Pengukuhan infrastruktur asas dan utiliti adalah salah satu aspek pembangunan yang kritikal dan memerlukan perhatian khusus di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau mahu kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur asas dan utiliti di negeri ini dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK- 13).
Katanya, penyediaan utiliti asas termasuk bekalan air bersih dan elektrik yang lengkap, terutamanya di kawasan luar bandar, adalah aspek penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Ini sekali gus dapat merangsang pelbagai aktiviti seperti pertumbuhan ekonomi dan pelaburan.
“Ini penting bagi mencipta persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan sosioekonomi yang mampan di Sabah,” katanya hari ini.
Teksnya disampaikan Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya.
Hajiji berkata, jurang pembangunan yang signifikan antara bandar dan luar bandar di Sabah merupakan cabaran yang perlu diatasi secara kolektif.
“Kerajaan negeri percaya bahawa pembangunan yang seimbang adalah kunci kepada kesejahteraan masyarakat.
“Ini seiring dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat, tanpa mengira lokasi geografi, dapat menikmati manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan,” jelas Hajiji.
Menurutnya, Sabah merupakan penyumbang keenam kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nasional dengan nilai sebanyak RM83.2 billion atau 5.3 peratus daripada keseluruhan KDNK negara pada tahun 2023.
“Sabah sebenarnya mempunyai kapasiti untuk meningkatkan lagi prestasi ekonomi negeri dan mampu memberikan sumbangan yang lebih signifikan kepada KDNK nasional.
“Untuk memperkasa ekonomi negeri, tumpuan utama kerajaan kini adalah untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perkembangan sektor perniagaan dan pelaburan serta memacu aktiviti ekonomi berimpak tinggi,” kata Hajiji.
