KOTA KINABALU : Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mengecam tindakan pihak mendakwa pelantikan Tun Musa Aman selaku Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu sebagai perancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menjadi Ketua Menteri Sabah.
Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin berkata, pihaknya mengecam tindakan beberapa pemimpin politik yang menyerang Perdana Menteri atas isu pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Seperti termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah Perkara 1(1) jelas menyatakan Yang di-Pertua Negeri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut budi bicara baginda selepas perundingan dengan Ketua Menteri.
“Semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Negeri Sabah dan proses yang telah dijalankan mengikut perlembagaan,” katanya hari ini.
Razeef merupakan Timbalan Ketua Penerangan Keadilan Pusat berkata, PKR Sabah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.
“Ini termasuk mengurniakan pingat kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara kepada Tun Musa di Istana Negara, kelmarin,” jelas Razeef.
