Pembangkang guna alasan banjir lengahkan PRU15 – Zahid

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendakwa Pakatan Harapan (PH) cuba ‘membeli masa’ untuk melengahkan pilihan raya umum (PRU) diadakan, dengan menggunakan isu banjir.

Beliau berkata, tindakan pembangkang yang semakin hangat memainkan isu banjir untuk mengelak PRU menyebabkan ada segelintir anggota kerajaan terpengaruh dengan dakyah ini tanpa menilai perspektif yang meluas.

“Kebimbangan sebenar pembangkang apabila pengundi Melayu yang mewakili populasi terbesar negara kurang berminat menyokong gabungan itu ketika gendang pilihan raya dipalu Barisan Nasional (BN).

“PH hampir menemui jalan buntu dan tidak mempunyai pilihan selain memerlukan lebih banyak masa. Dengan kata lain, PH cuba ‘membeli masa’ untuk melengahkan PRU diadakan,” katanya dalam laporan BH online hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan ucapannya bahawa parti itu sanggup meredah banjir jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini, sengaja dimanipulasi kononnya BN tidak mempedulikan keselamatan rakyat.

Beliau menjelaskan, ucapannya pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN baru-baru ini bagi menyatakan semangat serta kesiapsiagaan, selain memberi gambaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa jentera parti sanggup meredah segala cabaran demi memastikan kemenangan PRU15 milik BN.

Sabtu lalu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menganjurkan protes ‘Nyawa Dulu Baru PRU’bagi membantah hasrat PRU15 diadakan lebih awal pada musim tengkujuh.

Ahmad Zahid berkata, menurut sumber portal Malaysianow pemimpin PH diberitahu supaya membangkitkan isu seperti bencana banjir dan kenaikan inflasi supaya pembubaran Parlimen dalam masa terdekat ini dapat dielakkan.

Malah, katanya, portal itu menyatakan beberapa badan pemikir ditugaskan untuk menjalankan penyelidikan mengenai sentimen pengundi terhadap PH dan dijemput membentangkan penemuan mereka.

“Daripada pembentangan data daripada tinjauan berasingan itu didapati penemuan utama ialah sokongan Melayu terhadap PH berada pada tahap paling rendah.

“Malah dikatakan tinjauan itu mendapati PH tidak akan mendapat lebih daripada 15 peratus undi Melayu pada PRU15 jika ia diadakan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, berdasarkan kajian itu, keputusan PRU15 tidak akan memihak PH disebabkan undi Melayu akan beralih arah kerana pemulihan dan kebangkitan UMNO.

Namun, katanya, apa yang paling aneh kajian itu tidak pula membentangkan fakta mengenai banjir dan strategi untuk menyantuni rakyat ketika banjir melanda.

“Tidak pula dibentangkan strategi menangani inflasi untuk Malaysia yang kini melanda seluruh dunia. Sebaliknya pembangkang hanya lebih berminat memikirkan strategi untuk menang PRU15 daripada memikirkan masalah rakyat dalam pemukiman itu.

“Ini menunjukkan sikap sebenar pembangkang. Yang anehnya terdapat sekutu bersama UMNO masih lagi terpedaya dengan dakyah pembangkang itu atau mereka sebenarnya ada motif mereka sendiri bagi melengahkan PRU15 sebelum musim tengkujuh bermula,” katanya yang akan memperincikan lagi mitos dan dakyah naratif pembangkang dalam masa terdekat .