Pelantikan TKM, Menteri bukan wakil UMNO Sabah: Bung Moktar

KOTA KINABALU: Dua pelantikan potfolio menteri baharu termasuk Timbalan Ketua Menteri, tidak mewakili UMNO sekali gus tidak diiktiraf oleh UMNO Sabah.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan tersebut dilihat membelakangkan parti dan mereka hanya mewakili individu utk kepentingan diri masing masing tanpa memikirkan masa depan parti secara menyeluruh

“Pelantikan kabinet baharu melibatkan dua ADUN UMNO ini tidak mewakili parti, dan kita tidak membuat sebarang pengiktirafan berkenaannya.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga tidak boleh mengatakan atau mengiktiraf mereka ini mewakili UMNO dalam barisan kabinetnya, “katanya.

Bung Moktar yang juga ADUN Lamag itu berkata demikian dalam satu kenyataan medianya berhubung pembentukan dan pembaharuan kabinet Sabah baharu, hari ini.

Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat) dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu manakala Datuk James Ratib (Sugut) dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Kedua-dua termasuk tiga lagi ADUN UMNO lain sebelum ini tidak menyertai gerakan Pengerusi BN Sabah untuk menarik sokongan Ketua Menteri dan menyokong Datuk Seri Hajiji Noor.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, pihaknya sedang membawa perkara berkenaan untuk dihadapkan kepada lembaga disiplin parti kerana membelakangkan keputusan UMNO/BN Sabah.

“Kita akan berbincang dengan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengambil sebarang tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa dengan adanya kabinet baharu itu, Ketua Menteri sekaligus memperlihatkan sikap membelakangkan pandangan Perdana Menteri untuk menubuhkan satu kerajaan perpaduan

“Ketua Menteri nampaknya membelakangkan pandangan PM untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Sabah, perlu diingat pembentukan kerajaan pusat, BN merupakan penyumbang kepada kerajaan Perpaduan.

“Saya juga berharap Ketua Menteri bersikap adil dengan rakan-rakan dalam kabinet tanpa melibatkan campur tangan secara langsung dalam pentadbiran Kementerian masing masing.

“Jangan hanya mengaut keuntungan dan rakyat diabaikan, buatlah perubahan untuk rakyat dan negeri Sabah. UMNO Sabah bersedia untuk menjadi pembangkang dan kita akan memainkan peranan secara berkesan,” katanya