SEMPORNA : Seorang pelancong warga China disyaki lemas selepas melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Mabul, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Sabri Zainol berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, mangsa lelaki berusia 34 tahun ditemui terapung oleh jurulatih selam di permukaan air, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Semporna.
Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 2.36 petang.
“Pengadu merupakan jurulatih selam memaklumkan kematian seorang pelancong warga China disyaki lemas ketika menyelam di perairan pulau terbabit.
“Sebelum kejadian, pengadu bersama seorang lagi jurulatih telah membawa lima penyelam di kedalaman 12 meter di perairan Pulau Mabul, pada jam 10.50 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Mohd Sabri berkata, kira-kira jam 12.30 tengah hari aktiviti selesai dan semua penyelam naik dan menyerahkan peralatan termasuk mangsa.
“Selepas itu, mangsa masih berenang berlegar-legar di permukaan air sekitar bot. Namun, apabila semua telah naik ke bot, pengadu dapati mangsa tiada di atas bot.
“Selepas membuat pemeriksaan, mangsa didapati terapung di permukaan air dalam keadaan badan dan muka terlangkup,” jelas Mohd Sabri.
Menurutnya, pihaknya memohon bantuan penyelam yang lain, mangsa diangkat ke atas bot dan mereka cuba memberi bantuan pernafasan sebelum dibawa ke Hospital Semporna.
Bagaimanapun, katanya, setibanya di hospital, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Berikutan kejadian tersebut, Mohd Sabri berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Proses bedah siasat akan dijalankan dalam masa 48 jam sekiranya masih tiada waris yang tampil untuk menuntut jenazah bagi mengelakkan mayat mangsa reput teruk.
“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi Ketua Balai Polis Bum-Bum ASP Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852 atau tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis atau Ibu Pejabat Polis Daerah yang berhampiran,” katanya.