Pelan Strategik Majlis Daerah Semporna fokus tiga teras utama – Joachim

SEMPORNA : Pelancaran Pelan Strategik Majlis Daerah Semporna bagi tempoh 2024 hingga 2028 memfokuskan tiga teras strategik utama.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, pelan ini dibangunkan melalui bengkel pada awal Mac 2023 merangkumi 13 strategi dan 33 program dijangka dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, kejayaan pelan strategik ini bergantung kepada komitmen penuh seluruh warga kerja Majlis Daerah Semporna dan sokongan kukuh daripada Ahli Majlis Daerah.

“Usaha bersama dan tanggungjawab diambil perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh adalah kunci kepada pencapaian matlamat pelan ini.

“Kita mahu warga Majlis Daerah Semporna dan Ahli Majlis Daerah untuk bersatu demi merealisasikan visi Majlis Daerah Semporna sebagai sebuah organisasi yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya di sini semalam.

Joachim merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ini berkata, ini penting supaya Semporna boleh menjadi sebuah daerah yang cemerlang dalam pelbagai aspek.

“Kitamengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua warga kerja Majlis Daerah Semporna, Ahli Majlis Daerah Semporna, serta jabatan-jabatan terlibat dalam menjayakan pelan dan program ini.

“Daerah Semporna mengalami perubahan, di mana kerja-kerja membersihkan sampah dimulakan.

Beliau berharap usaha itu akan diteruskan agar daerah ini menjadi lebih bersih dan menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara,” jelas Joachim.

Menurutnya, beliau menyeru agar Majlis Daerah Semporna menyasarkan matlamat untuk mendapat pengiktirafan sebagai ‘Asean Clean Tourist City Standard’ yang akan memberikan nilai tambah dan impak yang lebih besar kepada pelancong.

“Semporna sebuah destinasi pelancongan terkenal di seluruh dunia dan dibelenggu isu sampah sudah sekian lama yang menjadi cabaran utama daerah.

“Justeru, Majlis Daerah Semporna turut disarankan mempelbagaikan usaha untuk menjadikan Semporna sebagai daerah dan destinasi pelancongan yang bersih dan indah,” kata Joachim.