PBS rai ulang tahun ke-40 dengan acara bermakna esok

KOTA KINABALU : Parti Bersatu Sabah (PBS) akan menyambut ulang tahunnya ke-40 secara sederhana tetapi bermakna di Dewan Hakka, di sini, esok.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki berkata, majlis itu akan menghimpunkan kira-kira 1,000 pemimpin bahagian, termasuk wakil dari sayap Wanita dan Pemuda.

Katanya, sebuah video pendek mengenang semangat tahun 1985 akan ditayangkan, menonjolkan misi dan visi parti yang berterusan untuk Sabah dan rakyatnya.

“Antara acara utama ialah pelancaran logo ulang tahun ke-40 PBS serta penyampaian hadiah kepada pencipta logo tersebut.

“Ada beberapa aktiviti termasuk pertandingan golf, boling dan bola sepak dalaman akan diadakan sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang majlis makan malam itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Julita merupakan Pengerusi Penganjur berkata, Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, Pengasas dan Penasihat Utama, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam akan menghadiri majlis ini.

“Joachim merupakan Timbalan Presiden PBS, dijangka menggariskan hala tuju masa depan parti sambil mengingatkan ahli mengenai peranan mereka dalam mengekalkan PBS sebagai sebuah kuasa politik yang kukuh.

“Joachim juga dijangka menegaskan semula komitmen PBS terhadap gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), di mana parti itu merupakan komponen kedua terbesar,” kata Julita.