KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak pernah berganjak dari pendiriannya berkenaan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
Setiausaha Agungnya, Datuk Joniston Bangkuai berkata, keikhlasan parti membendung masalah ini terbukti apabila beberapa minggu lalu Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), telah mencadangkan agar isu itu dibincangkan oleh pengubal undang- undang di Sabah melalui jawatankuasa khas antara parti.
Katanya, pada Jun 2020 lalu, Dr. Maximus juga mengetuai delegasi kepimpinan tertinggi PBS menyerahkan memorandum yang mengandungi cadangan penyelesaian masalah berkenaan PATI kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, di samping mengikut perkembangan perkara tersebut secara berterusan.
“Antara cadangan PBS agar Kerajaan menggunakan hasil penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah dan “Projek IC” sebagai rujukan untuk menangani masalah PATI yang telah lama berlarutan ini.
“Dr. Maximus juga telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya memohon agar mereka melaksanakan “Undi 18” di Sabah selepas Daftar Pemilih Negeri dibersihkan daripada pengundi yang meragukan, yang mana jumlah mereka sangat ramai di negeri itu,” katanya.
Joniston berkata, PBS juga sudah membuat temujanji dengan Pengerusi SPR bagi menyatakan serta membincangkan kebimbangan kami dan PBS masih menunggu ia (mesyuarat) menjadi kenyataan, walaupun terdapat banyak tindakan susulan.
“Pendirian kami mengenai PATI dan “Projek IC” tidak pernah goyah, dan PBS akan terus mencari jalan penyelesaian yang paling sesuai kepada masalah itu.
“Perjuangan untuk membebaskan Sabah daripada PATI telah dimulakan, dan kekal sebagai salah satu isu utama yang diketengahkan oleh PBS sejak penubuhannya pada 1985. Parti ini sangat konsisten dalam isu itu,” tambahnya.
Joniston mengulas gesaan bekas Senator PBS, Dr. Chong Eng Leong agar Dr. Maximus menyatakan pendiriannya dalam isu “Projek IC”.
Joniston berkata, perjuangan PBS yang konsisten dalam isu itu terbukti dengan penubuhan biro khas mengenai PATI, yang diketuai oleh seorang pemimpin kanan parti sejak penubuhannya pada 1985.
Biro itu kini diketuai oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Radin Malleh yang selama ini menjadi antara yang aktif dalam mengetengahkan isu pendatang tanpa izin.
Joniston berkata, cadangan Dr. Maximus untuk menubuhkan jawatankuasa khas bipartisan adalah bertepatan kerana Sabah mempunyai kuasa muktamad ke atas imigresen, terutamanya kini apabila Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah sebahagian daripada Perlembagaan berikutan pindaan kepada Artikel 1(2) dan Artikel 160(2) Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini
“Kami sedar akan isu yang dibangkitkan oleh Dr. Chong Eng Leong tetapi adalah tidak betul untuk mengatakan bahawa PBS telah mengubah pendiriannya dalam isu PATI. Kami akan sentiasa menentang kehadiran mereka di Sabah dari dahulu, kini dan selamanya. Sabah adalah untuk rakyat Malaysia yang tulen sahaja.
“Kami berharap apabila jawatankuasa khas antara parti dibentuk, setiap permasalahan akan dikupas bagi menentukan punca masalah ini agar dapat mencari penyelesaian yang sewajarnya,” katanya.