Pasaran Australia berpotensi untuk pelancongan Sabah

MELBOURNE: Sabah merekodkan lebih 7,000 pelancong Australia tiba di negeri ini sepanjang lima bulan pertama tahun ini, menjadikan negara berkenaan antara pasaran yang berpotensi baik dalam industri pelancongan negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew, berkata jumlah itu berdasarkan statistik Bahagian Penyelidikan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) antara Januari hingga Mei lalu.

Beliau berkata kebanyakan pelancong Australia tertarik dengan pantai, melihat hidupan liar dan merasai makanan tempatan.

“Sabah adalah destinasi yang bagus untuk warga Australia kerana mereka menyukai pantai, melihat hidupan liar yang ikonik di Sabah dan merasai makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan perniagaan dengan Pengurus Wilayah Penerbangan Malaysia bagi Australia, New Zealand dan Barat Daya Pasifik, Giles Gilbert, di sini, pada Selasa.

Christina mengetuai delegasi STB dalam rangka lawatan kerja ke Australia bagi mempromosikan produk pelancongan Sabah di negara berkenaan.

Delegasi Sabah disertai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga Pengerusi STBvDatuk Joniston Bangkuai, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Nohd Yusrie Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif STB Noredah Othman.

Christina berkata STB kini dalam rangka untuk mengembangkan pelancongan Sabah kepada khalayak yang lebih luas di Australia menerusi kempen ‘Feel Sabah – North Borneo’ atas dorongan peningkatan pelawat Australia selepas pembukaan semula sempadan negara.

Katanya dua strategi utama digariskan menerusi pelan tindakan yang akan dilaksanakan, iaitu mengenal pasti agen yang akan dilengkapkan dengan pengetahuan mengenai Sabah dan menawarkan Borneo Side Trip (BST) percuma kepada pengembara.

“Fokus kita adalah pasaran Australia berikutan ada penerbangan terus Australia – Kuala Lumpur yang ditawarkan Penerbangan Malaysia.

“Selain itu, ‘Sabah – North Borneo’ juga menjadi produk yang sangat menarik kepada pasaran Australia dan New Zealand,” katanya.

Tambah Christina, sekurang-kurang tiga segmen pasaran dijadikan sasaran di Australia, iaitu eko pelancongan khususnya berkaitan alam sekitar dan warisan kebudayaan, pengembara bebas dan santai serta segmen mewah atau resort pantai.