Kerajaan Negeri perlu ambil perhatian serius kadar pengganguran tinggi – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dan sektor awam perlu melihat dengan serius kadar pengganguran di negeri ini masih pada tahap yang tinggi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata isu ini perlu ditangani dari semasa ke semasa dengan berkesan.

“Saya meminta Kerajaan Negeri memastikan bahawa peluang pekerjaan itu tersedia kepada rakyat negeri Sabah dengan slogan Sabah Maju Jaya.

“Maka gunakanlah Maju itu untuk majukan rakyat, Jaya itu menjayakan program-program untuk kemakmuran rakyat,” katanya di sini.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk V.Sivakumar bahawa Sabah masih mencatat kadar pengangguran tertinggi iaitu melebihi 2 kali ganda berbanding kadar pengangguran Nasional iaitu 3.5 peratus pada suku tahun pertama 2023,.

Jumlah mereka yang menganggur di negeri Sabah adalah 169,800 orang manakala di peringkat nasional adalah seramai 588,700 orang.

Bung Moktar berkata beliau sedar bahawa isu pengganguran di Sabah ini memang meningkat dari semasa ke semasa.

Katanya ini disebabkan Kerajaan Negeri gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada belia-belia.

‘Dimana kita lihat lebih 150,000 orang berada di Lembah Klang dan lebih kurang 60,000 orang berada di Pulau Pinang selebihnya di Melaka, Negeri Sembilan.

“ini amat menyedihkan apabila kita melihat rakyat Sabah berhijrah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Justeru itu, beliau tidak mahu rakyat Sabah khususnya belia-belia ada yang selepas dibuang bekerja mereka tidak balik ke Sabah dan terlibat dengan gejala-gejala tidak baik.