UMNO Beaufort rancang pelbagai program dekati pengundi muda – Awang Aslee

KOTA KINABALU: Pelbagai program sedang dirancang bagi memantapkan serta mendekatkan UMNO Bahagian Beaufort kepada pengundi muda di daerah ini.

Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, dalam tempoh terdekat pelbagai program sudah diatur bagi menggalakan ahli UMNO bersama-sama pengundi muda.

“Saya telah pun mengarahkan pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Beaufort bergerak lebih giat lagi dengan mengadakan pelbagai program yang menjurus kepada mendekati anak muda khususnya di daerah Beaufort.

“Secara tidak langsung ini bagi menyahut saranan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin agar semua bahagian dan cawangan UMNO di negeri ini diminta agar melakukan perencanaan rapi bagi mengenal pasti dan mendekati pengundi muda 18 tahun di kawasan masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Awang Aslee berkata, sebelum ini UMNO Bahagian Beaufort sudah merancang pelbagai pendekatan khusus mendekati pengundi muda melalui program yang dikendalikan sayap pemuda dan puteri.

“Kita akan perkasakan lagi program mendekati pengundi muda ini yang kadarnya setiap hari akan bertambah melalui pendaftaran secara automatik (PSSA) dikuatkuasakan bagi pengundi muda 18 pada Disember 2021 lalu.

“Ini khususnya kepada warganegara yang layak serta mempunyai maklumat lengkap berdasarkan rekod di Jabatan Pendafataran Negara (JPN) akan didaftarkan tanpa perlu memohon kepada SPR,” katanya.

Awang Aslee berkata, mengikut pecahan demografi pengundi baru menunjukkan hanya kira-kira 16 peratus dari 6.9 juta pengundi baru mewakili kumpulan umur 18-20 tahun.

“Mereka ini sudah tentu menjadi kumpulan utama yang menjadi sasaran beberapa parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kemenangan gabungan utama parti politik di negara ini yang membabitkan blok Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) serta Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri di enam buah negeri baru-baru ini juga bergantung kepada pengundi muda” katanya.