terima KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merancang untuk menubuhkan Pusat Sains dan Inovasi di setiap zon sebagai antara usaha untuk meningkatkan minat masyarakat negeri ini terhadap bidang sains.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata projek yang sedang dalam pelaksanaan itu merangkumi pembinaan Pusat Sains dan ‘Maker Space’ di Perpustakaan Negeri cawangan Sandakan dan Tawau.
Katanya selaras dengan itu juga, kerajaan negeri akan mewujudkan lebih banyak perpustakaan yang dilengkapi bahan bacaan dan sumber rujukan terkini berkaitan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
“Kerajaan negeri menitikberatkan dan terus memberi tumpuan kepada pembangunan dan pembudayaan STI di negeri ini,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 Peringkat Negeri Sabah dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.
Teks ucapannya disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Ariffin Arif.
Hadir sama, Timbalan Menteri MOSTI Datuk Arthur Joseph Kurup.
Hajiji berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan program inovasi masyarakat luar bandar melalui Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dan Pusat e-Desa.
Sementara itu, katanya, bagi mempergiat pembudayaan dan pengaplikasian STI di peringkat akar umbi, kerajaan negeri dengan bantuan Majlis Pembangunan Teknologi dan Inovasi Sabah (MaPTIS) melaksanakan beberapa program baharu pada tahun ini.
Katanya ia termasuk Program Jelajah SMJ KSTI, Majlis Anugerah Sains Sabah, Program Jelajah Astronomi Sabah dan Sabah Malaysia Techlympics 2023.
“Digital Internet Of Thing (IoT) Sandbox yang pertama di Borneo juga telahpun beroperasi sepenuhnya di Kota Kinabalu bertujuan menggalakkan masyarakat berdaya kreatif dan berinovasi, di samping meningkatkan pengkomersialan hasil inovasi tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menyifatkan pelaksanaan Malaysia Techlympics 2023 sebagai pertandingan berteraskan STI yang dirangka untuk menarik minat pelajar dan belia dapat meningkatkan pembelajaran teknologi terkini serta mengaplikasinya menerusi ciptaan inovasi seperti robotik dan dron.
Katanya penyertaan Malaysia Techlympics bagi negeri Sabah meningkat daripada 31,955 pada 2022 kepada 78,884 pada tahun ini.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong dan menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan di bawah MOSTI,” katanya.
Menurutnya kolaborasi strategik kerajaan negeri bersama MOSTI melalui KSTI Sabah termasuk Kembara Sains Borneo yang sedang berlangsung bermula 21 Ogos lalu hingga 1 Oktober 2023 meliputi kawasan seperti Kudat, Kota Marudu, Pitas, Kimanis, Kalabakan dan Pensiangan adalah sesuatu yang baik.
