KOTA KINABALU: Hanya 40 peratus pelajar di negara ini meminati bidang sains berdasarkan kajian pada tahun lalu berbanding 66.7 peratus pada 2019.
Timbalan Menteri, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata penurunan itu adalah hasil dapatan Kajian Kesedaran Awam Mengenai Sains Teknologi Inovasi (STI) Malaysia pada tahun lalu
Katanya ada empat sebab utama dikenal pasti sebagai punca enrolmen rendah dalam aliran sains berdasarkan kajian Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC), MOSTI.
“Pertama kerana minat pelajar lebih cenderung terhadap bidang bukan berteraskan sains; kedua, sains adalah mata pelajaran sukar untuk difahami; ketiga, mata pelajaran sains sukar untuk dikuasai; dan keempat tidak berminat dengan bidang sains di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 peringkat negeri Sabah, di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.
Karnival itu dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Ariffin Arif.
Arthur berkata kajian sama turut mendapati 81.1 peratus responden memberi cadangan untuk menggabungkan aktiviti praktikal di dalam kelas sebagai cara terbaik untuk meningkatkan minat pelajar dalam sains.
Beliau berkata ia juga bagi mewujudkan kesedaran mengenai sains bermula di sekolah rendah dan memberi lebih banyak pendedahan berkaitan sains serta kehidupan seharian.
“Mengambil kira dapatan berkaitan tahap kesedaran STI dan penurunan enrolmen dalam STEM ini, MOSTI komited menyusun dan menyelaras pelaksanaan Program Perdana Pembudayaan STI iaitu MSN dan Malaysia Techlympics,” kata Arthur.