KOTA KINABALU: Kim Teck Cheong (KTC) Consolidated Berhad memulakan pembinaan hab logistik dan gudang bernilai RM150 juta di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), yang dijangka menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, pelaburan itu membuktikan kerajaan negeri memberi keutamaan kepada syarikat tempatan Sabah yang mempunyai kredibiliti dan kemampuan memacu pembangunan sektor perindustrian negeri.
“Kejayaan KTC sebagai syarikat tempatan Sabah yang tersenarai di Bursa Malaysia dan terus melabur di negeri ini menunjukkan keyakinan terhadap potensi ekonomi Sabah,” katanya selepas majlis pecah tanah projek itu hari ini.
Beliau berkata, projek tersebut dijangka siap dalam tempoh kira-kira satu setengah tahun dan turut membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk terlibat dalam rantaian bekalan serta perkhidmatan berkaitan.
Ewon berkata, perkembangan itu turut mencerminkan minat berterusan pelabur luar terhadap Sabah walaupun ekonomi global berdepan ketidaktentuan semasa.
Menurutnya, antara hasil misi perdagangan Sabah ke China baru-baru ini ialah perjanjian awal antara KTC dan syarikat automotif China, Dongfeng Motor bernilai kira-kira RM30 juta bagi cadangan pembinaan kilang pemasangan kenderaan di Sabah.
