KUCHING: Maxim E-hailing Malaysia bekerjasama dengan Zlata bagi memperkenalkan program insurans khas untuk pemandu e-hailing di seluruh Sarawak termasuk Kuching, Miri dan Sibu.
Kerjasama itu menawarkan perlindungan insurans yang disesuaikan dengan keperluan operasi pemandu e-hailing termasuk perjalanan jarak jauh dan antara daerah.
Selain perlindungan kemalangan serta kerosakan kenderaan ketika menjalankan tugasan e-hailing, pemandu turut ditawarkan skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) bagi memudahkan pembayaran polisi insurans.
Setiap pemandu yang membeli polisi melalui program itu juga akan menerima bateri kereta percuma lengkap dengan jaminan.
Ketua Pematuhan Undang-Undang dan Perhubungan Kerajaan Maxim E-hailing Malaysia, Mushfique Ahmed Chowdhury, berkata kerjasama itu bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan komuniti pemandu gig.
Beliau berkata, inisiatif itu juga membantu mengurangkan beban kos operasi tahunan pemandu.
