UMNO Bahagian Kota Marudu akan mantapkan program dekati pengundi muda – Ismarah Madcasar

KOTA KINABALU: UMNO Bahagian Kota Marudu akan melipatgandakan program bagi mendekatkan diri dalam kalangan pengundi muda di daerah tersebut.

Ketuanya, Datuk Ismarah Madcasar berkata, ini bagi menyahut saranan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin agar semua bahagian dan cawangan UMNO di negeri ini diminta agar melakukan perencanaan rapi bagi mengenal pasti dan mendekati pengundi muda 18 tahun di kawasan masing-masing.

Menurutnya, sebelum ini UMNO Bahagian Kota Marudu sudah merancang pelbagai pendekatan khusus mendekati pengundi muda melalui program yang dikendalikan Pemuda UMNO Bahagian Kota Marudu.

“Kita akan perkasakan lagi program mendekati pengundi muda ini yang kadarnya setiap hari akan bertambah melalui pendaftaran secara automatik (PSSA) dikuatkuasakan bagi pengundi muda 18 pada Disember 2021 lalu.

“Ini khususnya kepada warganegara yang layak serta mempunyai maklumat lengkap berdasarkan rekod di Jabatan Pendafataran Negara (JPN) akan didaftarkan tanpa perlu memohon kepada SPR,” katanya di sini hari ini.

Ismarah berkata sosial media antara usaha yang akan ditumpukan untuk mendekati golongan muda dengan mengenal pasti input yang sesuai seperti TikTok.

Katanya Pemuda UMNO dibahagian itu sudah tentu akan diberi tanggungjawab untuk mendekati dan menarik hati golongan muda.

Pada masa sama, katanya, aktiviti sukan juga akan diberikan tumpuan termasuk e-sukan yang turut digemari golongan.